Edisi Windows XP Windows_XP

Secara umumnya, Windows XP secara lazimnya terdiri daripada 2 versi utama, iaitu:-

  • Windows XP Home Edition - versi yang disasarkan kepada pengguna rumah.
  • Windows XP Professional - versi yang disasarkan untuk kegunaan perniagaan dan pengguna komputer berkuasa tinggi. Windows XP Professional mengandungi ciri-ciri istimewa yang tidak terdapat pada versi Home Edition.

Selain itu, terdapat edisi khas Windows XP yang dibina untuk beberapa jenis komputer khusus, iaitu:-

  • Windows XP 64-bit Edition - untuk komputer stesen kerja yang menggunakan pemproses Intel Itanium.
  • Windows XP Professional x64 Edition - untuk komputer dengan pemproses 64-bit (jangan terkeliru dengan edisi 64-bit di atas, ia hanya untuk komputer stesen kerja dengan pemproses Intel Itanium sahaja).
  • Windows XP Media Center Edition - untuk komputer pusat media. Pusat media ialah komputer khas yang turut dilengkapi talaan siaran televisyen dan radio serta pelbagai ciri lain. Edisi ini tidak dijual berasingan tetapi disertakan dengan komputer pusat media tersebut.
  • Windows XP Tablet PC Edition - untuk komputer riba khas yang dikenali sebagai PC tablet. Tidak seperti komputer riba biasa, PC tablet menggunakan sistem pengecaman tulisan pengguna dan pengguna "menulis" menggunakan pen stilus pada skrin yang sensitif dengan pen tersebut. Seperti pusat media, edisi PC tablet tidak dijual berasingan dan disertakan dengan pembelian PC tablet tersebut.
  • Windows XP Embedded - sistem pengendalian terbenam bagi peralatan elektronik pengguna khusus seperti mesin ATM, peranti perubatan, permainan video arked, terminal jualan serta komponen VoIP.
  • Windows Fundamentals for Legacy PCs - disasarkan kepada sebilangan kecil pengguna khusus Microsoft Software Assurance yang ingin menggunakan Windows XP tetapi hanya mampu memiliki komputer lama (seawal zaman pemproses Pentium).

Windows XP Starter Edition

Windows XP Starter Edition ialah versi berkos rendah yang diedarkan di beberapa buah negara termasuklah Malaysia. Di Malaysia, Windows XP Starter Edition menggunakan bahasa Melayu bertujuan untuk membantu meningkatkan kadar celik IT di kalangan pengguna serta bagi memerangi cetak rompak. Sungguhpun demikian, versi tersebut mempunyai beberapa batasan, iaitu Starter Edition hanya boleh digunakan pada komputer berkuasa rendah, membenarkan sehingga hanya 3 perisian dibuka pada satu-satu masa, serta terdapat beberapa ciri yang dimansuhkan ataupun dinyahupayakan secara lalai.

Windows XP edisi N

Pada Mac 2004, Kesatuan Eropah telah menyaman Microsoft sejumlah €497 juta (AS$603 juta) atas dakwaan memonopoli perisian pemain media menerusi penyertaan Windows Media Player dalam sistem pengendalian Windows. Selain itu, Microsoft diperintahkan untuk menghasilkan versi Windows XP tanpa Windows Media Player, dikenali sebagai edisi N (tanpa Windows Media Player). Walau bagaimanapun, edisi N tersebut mendapat sambutan dingin di kalangan pengguna serta pengeluar komputer kerana harga bagi edisi N adalah sama dengan edisi biasa dengan Windows Media Player, menyebabkan pengguna dan pengeluar berasa rugi.